Showing posts with label WANITA DAN KESIHATAN. Show all posts
Showing posts with label WANITA DAN KESIHATAN. Show all posts

Dec 26, 2008

INFO UNTUK IBU MUDA

Wanita : Blog bantu ibu muda pantang cara tradisi
(sumber: http://www.idesa.net.my)

KONGSI: Faridah mewujudkan blog amalan berpantang untuk pengetahuan bakal ibu dan bapa.

Pakar perubatan kendali laman web baiboo sedia jawab persoalan mengenai rawatan selepas bersalin 

TUBUH langsing menawan sudah tentu menjadi idaman setiap wanita, namun impian itu sering kali sukar dicapai khususnya bagi golongan ibu yang baru melahirkan cahaya mata. 

Hasrat memiliki tubuh langsing seperti zaman anak dara sukar direalisasikan kerana cara hidup moden kini menyebabkan ramai wanita baru bersalin enggan menjalani proses berpantang sehingga berat badan naik mendadak. 

Hakikatnya, wanita selepas bersalin perlu menjalani perawatan tradisional seperti diamalkan zaman berzaman bagi mengekalkan kecantikan luaran dan dalaman walaupun banyak penjagaan perubatan moden ditawarkan, khususnya bagi golongan wanita bekerjaya. 

Begitu pun, ada wanita yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai kaedah dan amalan berpantang Melayu, tetapi tidak tahu bagaimana caranya atau malu untuk berjumpa bidan dan pakar perubatan tradisional yang biasanya menawarkan perkhidmatan di kampung. 

Menyedari hakikat itu, Pensyarah Jabatan Patologi Kimia di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Dr Faridah A Rashid mewujudkan blog Malay Confinement yang memberi penerangan khusus mengenai kaedah berpantang Melayu untuk ibu selepas bersalin. 

Menerusi blog terbabit, golongan ibu tanpa mengira bangsa boleh mengemukakan sebarang pertanyaan kepada Dr Faridah yang sedia menjawab segala persoalan yang dibangkitkan berdasarkan pengalamannya mengkaji perubatan tradisional Melayu sejak 20 tahun lalu.  

Melalui baiboo.com.my - blog yang dibangunkan syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur, BaiBoo Sdn Bhd itu dikhaskan untuk golongan suami isteri muda yang belum begitu mahir selok belok sebagai bapa dan ibu. 

Dr Faridah, 48, anak kelahiran Melaka dan ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap perubatan tradisional Melayu menarik minatnya untuk terbabit dalam blog berkenaan khususnya bagi membantu golongan ibu bapa yang merancang dan baru dikurniakan cahaya mata. 

"Ramai yang masih keliru mengenai kaedah berpantang selepas bersalin yang diamalkan masyarakat Melayu. Menerusi blog ini, saya sedia menjawab pelbagai persoalan seperti urutan badan, bertungku, bertangas, pemakaian barut dan bengkung sehinggalah pengambilan jamu dan pemakanan," katanya. 

Beliau yang bertugas di HUSM sejak 24 tahun lalu, berkata kaedah rawatan tradisional bagi wanita bersalin sebenarnya masih kuat diamalkan dalam masyarakat Melayu kini, walaupun ada yang menganggapnya sebagai kuno. 

"Berdasarkan kajian saya, perubatan dan kaedah tradisional bagi perawatan selepas bersalin tidak melanggar serta bertentangan dengan amalan perubatan moden. Cuma, amalan tradisional tidak banyak disertakan dengan fakta tepat. 

"Sebab itu, orang Melayu perlu mempunyai pengetahuan supaya sesuatu herba dan ubat-ubatan itu diambil mengikut keperluan atau had yang perlu kerana jika terlebih, mungkin akan mendatangkan mudarat kepada ibu mengandung atau yang baru melahirkan bayi," katanya. 

Dr Faridah berkata, perkara yang selalunya diabaikan dalam amalan berpantang tradisional orang Melayu ialah bersenam yang sebenarnya menjadi faktor penting dalam menentukan kesihatan dan kerampingan seseorang wanita. 

"Bersenam memang tiada dalam istilah perubatan Melayu, tetapi selalu saya tekankan kepada pelajar saya bahawa wanita selepas bersalin perlu bersenam kerana ia penting untuk menguatkan peranakan dan menstabilkan kedudukan rahim. 

"Selain itu, ramai wanita melakukan amalan berpantang semata-mata mahu kelihatan ramping dan memiliki tubuh menawan sedangkan mereka tidak sedar bahawa amalan pantang dalam masyarakat Melayu juga penting untuk menghindari penyakit jantung yang akan berlaku jika berat badan berlebihan," katanya. 

Mengenai pemakanan ketika mengandung, Dr Faridah berkata, ibu hamil boleh menikmati apa saja makanan asalkan diambil secara berpatutan dan mengikut amalan pemakanan seimbang untuk kekuatan dan pembentukan bayi yang sihat. 

"Paling penting, wanita hamil jangan mengambil ubat selain yang dibenarkan oleh doktor kerana dengan mengambil ubat yang salah boleh mengakibatkan kerosakan pada DNA bayi, seterusnya menyebabkan kecacatan. 

"Struktur kimia yang terdapat pada ubat tertentu boleh menjejaskan DNA yang mungkin menyebabkan pembesaran bayi ketika dalam kandungan terhalang atau mulut bayi menjadi sumbing dan lelangit terbelah. 

"Selain itu, ibu yang terasa pening dan loya digalakkan mengambil limau kasturi dan jangan sekali-kali mengambil ubat yang mengandungi aspirin kerana akan menyebabkan percantuman jantung bayi menjadi tidak sempurna sehingga menyebabkan jantung berlubang," katanya. 

Sebaliknya, beliau menggalakkan ibu hamil mengambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian kerana terbukti kandungan dalam makanan terbabit mengandungi asid folik yang membantu pembinaan saraf tunjang. 

"Bagi memastikan bayi yang dilahirkan sihat, perancangan dalam pemakanan perlu dilakukan sejak ketika merancang kehamilan. Herba Melayu seperti mas cotek mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk tubuh. 

"Malah, orang Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai musim buah-buahan yang sepatutnya digunakan oleh ibu mengandung untuk mendapatkan khasiat secara mudah melalui sumber yang terdapat pada buah seperti mangga,” katanya. 

Ingin mendapatkan maklumat lanjut menganai amalan berpantang masyarakat melayu yang dikendalikan oleh Dr Faridah, kunjungi laman baiboo.com.my.

Dec 8, 2008

Apa itu Selaput Dara?

Dipetik dari http://www.rahsiaperkahwinan.com/

Pengenalan:

Sebagai seorang wanita kita sering mendengar tentang istilah selaput dara. Sayangnya, pengetahuan kita terhadap perkara tersebut amat terbatas. Malah ada kalahnya ia lebih banyak dipengaruhi oleh mitos berbanding fakta sebenar. Agar tidak terkeliru dengan mitos yang diuar-uarkan, fahamilah informasi di bawah ini.

APA ITU SELAPUT DARA??

Dalam istilah perubatan, selaput dara dikenali sebagai hymen. Selaput dara ini merupakan satu lipatan selaput lendir yang menutupi pintu bibir vagina perempuan. Ia telah ada sejak bayi perempuan dilahirkan. Kedudukannya adalah diantara satu atau dua cm dari bibir luar vagina dan bentuknya bulat mengikut bentuk liang vagina. Namun begitu ada juga selaput dara yang memiliki bentuk unik seperti bulan sabit ( semilunar ) dan mempunyai pemisah ( septum ). Selaput ini amat tipis dan merupakan membran yang lembut. Secara biologisnya membrane ini tidak berfungsi, tetapi ia mempunyai beban yang berat kerana dinilai sebagai bukti kegadisan seorang perempuan.
ADAKAH SEMUA PEREMPUAN MEMILIKI SELAPUT DARA?

TIDAK. Bukan semua wanita mempunyai selaput dara pada vaginanya. Terdapat beberapa kajian yang mendapati ada bayi perempuan lahir tanpa selaput dara.

APAKAH YANG BOLEH MENYEBABKAN SELAPUT DARA PECAH?

Biarpun hanya sekadar lapisan lender, selaput dara sangat elastic dan tidak mudah rosak. Selaput dara hanya akan pecah apabila berlakunya hubungan seksual, rawatan perubatan yang dilakukan pada liang vagina, gangguan penyakit pada saluran vagina atau kemalangan dan aktiviti berat yang mempengaruhi alat kelamin perempuan.

Ketebalan selaput dara berbeza di antara satu wanita dengan wanita lainnya. Ada perempuan yang mempunyai selaput dara amat tipis dan mudah koyak oleh aktiviti-aktiviti tertentu seperti berenang, menunggang basikal dan memanjat. Ini semua memecahkan selaput daranya meskipun dia belum pernah melakukan hubungan s*ks. Sebaliknya, ada juga perempuan yang sudah bernikah dan berhubungan s*ks berkali-kali tetapi selaput daranya masih utuh dan tidak koyak kerana selaput daranya begitu elastik.

APAKAH SELAPUT DARA LAMBANG KEPERAWANAN?

Salah satu faktor penyebab kerosakan selaput dara adalah hubungan se*sual. Dan masyarakat menyatakan seseorang perempuan adalah perawan jika belum pernah melakukan hubungan se*sual. Isu keperawanan yang berhubung dengan selaput dara ini juga berkaitan dengan pendarahan yang terjadi ketika selaput dara koyak. Inilah yang menjadi tanda keperawanan dan kesucian seorang perempuan pada malam pertama.

Seorang wanita dikatakan tidak suci sekiranya tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama. Anggapn ini sebenarnya kurang tepat. Perawan atau tidak seseorang gadis itu bukan hanya bergantung pada selaput dara. Tidak semestinya wanita yang tidak mengeluarkan darah ketika malam pertama sudah tercemar kerana selaput dara ini bukan hanya boleh pecah ketika melakukan persetubuhan tetapi juga disebabkan beberapa sebab yang dinyatakan di atas.

APAKAH SELAPUT DARA WAJIB MENGELUARKAN DARAH KETIKA MALAM PERTAMA?

Tentu sahaja TIDAK. Ini kerana selaput dara selain terdiri daripada membran yang lembut, ia juga bersifat fleksibel. Mungkin sahaja selaput dara ini melentur sehingga tidak mengeluarkan darah sewaktu melakukan hubungan se*sual buat kali pertama.

Malah dalam beberapa kes, didapati ada wanita yang tidak mempunyai selaput dara sejak lahir. Dan ada juga wanita yang memiliki selaput dara yang sangat tipis berbanding wanita-wanita lain sehingga is tidak dapat mengeluarkan darah pada saat melakukan hubungan se*sual buat kali pertama. Selain itu, fakta perubatan turut menunjukkan selaput dara hanya memiliki sedikit pembuluh darah. Semakin tipis selaput dara, semakin sedikit darah yang keluar sehingga hampir tidak kelihatan.

Bagi kaum lelaki, janganlah menilai kesucian isteri mereka melalui darah yang dikeluarkan ketika mereka mengadakan hubungan s*ks untuk kali pertama. Jangan terlalu tipikal dan kuno dalam menangani situasi ini, cubalah berfikiran lebih terbuka dan positif kerana di era millennium ini selaput dara bukanlah indicator utama dalam menentukan kesucian.

Mungkin tuduhan anda ada benarnya iaitu isteri anda sudah tidak suci lagi. Namun mungkin juga wanita yang anda nikahi tidak mempunyai selaput dara atau daranya telah pecah disebabkan aktiviti-aktiviti harian yang telah dilakukannya. Fikirlah dengan rasional. Jangan rosakkan ikatan pernikahan dengan tuduhan melulu yang akhirnya memusnahkan rumah tangga yang dibina.

Mengapa Wanita Tumbuh Fibriod?

(Sumber artikel: http://www.hamidarshat.com/)


Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini, saya ingin membincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Saya percaya ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju dengan saya bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid. 

Pelbagai Gangguan Haid
Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar. 

Saya ingin menekankan di sini, bahawa gangguan haid pada wanita dalam umur sekitar empat puluhan atau lebih, boleh menandakan penyakit yang sangat berbahaya dan ditakuti seperti kanser pangkal rahim. 

Oleh itu, saya ingin menasihatkan kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang saya nyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada doktor mereka atau daripada pakar sakit puan. 

Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim
Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan. 

Bagaimanapun, saya hanya akan membincangkan tentang fibroid kerana saya percaya, bahawa ini merupakan ketumbuhan dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam kesihatannya.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung. 

Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi. 


Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan. 

Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim. 

Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid. 

Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada orang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa, ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau kemandulan. 

Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di kalangan wanita moden yang bekerja.

Tidak ada bukti-bukti yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman. 

Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut. 

Gangguan Haid
Saya telah nyatakan di atas, bahawa tanda yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan kesihatannya.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid (senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita, khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor, khususnya doktor pakar sakit puan. 

Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung. 

Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya ia menyekat kelahiran bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang mengandung dengan fibroid pada rahim. 

Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid. 

Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid. Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan. 

Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50 tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan untuk fibroid tidak diperlukan. 

Setakat ini tidak ada rawatan yang menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar biasa. 

Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak. 

Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis. 

Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus. 

Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi) 

Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti. 

Kejelitaan Dipengaruhi oleh Hormon
Kejelitaan dan fungsi seksual lebih dipengaruhi oleh hormon estrogen yang dikeluarkan oleh kilang ovari. Biasanya, dalam pembedahan hysterektomi, kedua-dua kilang ovari akan dikekalkan walaupun wanita itu telah melebihi umur 40 tahun kerana kilang ini penting bagi mengekalkan kejelitaan, sifat-sifat kewanitaan dan juga melindungi kesihatan wanita tersebut. Hubungan seksual antara suami isteri selepas hysterektomi biasanya tidak akan terjejas, malahan akan menjadi lebih baik kerana tidak diancam dengan pendarahan yang tidak teratur serta berpanjangan. Wanita itu akan menghadapi hidup yang lebih selesa tanpa haid yang luar biasa mengganggunya, dan dia boleh menumpukan lebih masa untuk beramal ibadah tanpa ada sekatan untuk bersembahyang atau berpuasa kerana haid tidak akan datang lagi dan hubungan seksual boleh dilakukan pada bila-bila masa. Keadaan kesihatan akan menjadi lebih baik kerana kehilangan darah tidak akan berlaku lagi. Pada keseluruhannya, wanita itu akan menjadi lebih sihat dan sejahtera selepas pembedahan hysterektomi. 

Ketumbuhan fibroid yang wujud bersama dengan prolaps atau kekenduran rahim, biasanya dirawat dengan pembedahan melalui saluran faraj. Ini bermakna tidak ada parut akan wujud di bahagian kulit perutnya, sebaliknya kesemua pembedahan akan dilakukan menerusi saluran faraj. Di samping itu, kekenduran pada saluran faraj dapat diperbaiki dengan memperkukuhkan otot-otot yang menyokong lantai punggung dan saluran peranakan. Kaedah pembedahan ini dinamakan vaginal hysterectomy dan repair. Wanita akan menjadi lebih selesa dalam hubungan seksual mereka selepas pembedahan ini kerana jika ada kelonggaran berlaku pada saluran faraj, kesemuanya akan dapat diatasi dengan pembedahan untuk membetulkan saluran. Di samping itu, otot-otot di sekeliling rahim akan menjadi lebih kukuh lagi.

Akhir kata, saya ingin menekan sekali lagi, bahawa fibroid adalah ketumbuhan yang paling sering berlaku di dalam rahim wanita tetapi puncanya tidak diketahui. Ia bukan ketumbuhan kanser dan jarang menyebabkan kematian tetapi ia boleh menimbulkan beberapa gejala termasuk gangguan haid, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan perkencingan dan sebagainya. Setakat ini tidak ada ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan ini. Rawatan yang mutlak baginya ialah pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut sama ada ketumbuhan itu disertai dengan pembuangan rahim atau hanya pembuangan ketumbuhan sahaja. Umur empat puluhan ialah tahap umur yang sering diserang dengan masalah ketumbuhan fibroid.