Jan 24, 2009

Amalan isteri digantung jika mencela suami

Oleh Noraishah Mohd Ali
(sumber: http://groups.msn.com/UkhwahMuslimahNagoya/perkahwinan)
 
"KAK Yati, bukannya tak nak pakai tudung lagi, teringin juga nak bertudung, tapi suami tak benarkan, sebab tak nampak cantik dan bergaya."

Alasan itu kerap didengari bagi wanita berkahwin mengapa mereka tidak bertudung, menutup aurat. Isteri baik sememangnya perlu patuh dan mentaati suami. 

Bagaimanapun, ketaatan isteri terhadap suami tidak dalam semua perkara. Memakai tudung menutup aurat adalah perintah Allah. Isteri seharusnya mengutamakan perintah Allah sebelum mematuhi perintah suaminya.

Firman Allah bermaksud: 

"Hendaklah mereka itu (kaum wanita) melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya." (Surah an-Nur, ayat 31)

Setiap wanita Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan belahan dada, termasuk leher supaya tempat yang boleh membawa fitnah itu tidak terbuka yang mungkin boleh dilihat oleh lelaki bukan mahram.

Sekiranya perkara yang diperintahkan oleh suami itu bertentangan dengan hukum Allah dan boleh membawa dosa, maka isteri dibenarkan membantah atau tidak mematuhi arahan itu. Demikianlah dalam perkara memakai tudung, isteri tidak seharusnya mematuhi arahan suami yang melarangnya memakai tudung.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: 

"Tidak boleh mentaati makhluk dalam perkara menderhakai Allah." (Hadis riwayat Ahmad) 

Ketaatan isteri terhadap suami ialah kepatuhan yang dituntut Islam. Suami, di samping bertanggungjawab memberikan nafkah lahir dan batin, bertanggungjawab membimbing isterinya ke jalan benar. 

Sekiranya tidak mampu untuk mengajarnya, hendaklah dibenarkan isteri keluar rumah untuk menuntut ilmu. Oleh itu, isteri harus setia kepada suami yang soleh dan sedia mengikuti segala perintahnya.

Firman Allah bermaksud: 

"Wanita yang solehah ialah yang taat kepada Allah, lagi memelihara diri (tidak berlaku curang serta memelihara rahsia dan harta suaminya) di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka." (Surah an-Nisaa¹, ayat 34)

Isteri yang tidak patuh kepada nasihat suami, malah mencela dan tidak menghargai suaminya, di samping tidak mendapat keberkatan di dunia, akan menerima pembalasan di akhirat kelak.

Saidina Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda: 

"Wanita yang berkata kepada suaminya bahawa dia tidak melihat kebaikan yang ada pada suaminya, maka Allah menggantungkan amalan baiknya selama tujuh puluh tahun, walaupun dia berpuasa sepanjang hari dan beribadah pada malam hari." (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Nasa¹i)

Sabda Rasulullah lagi bermaksud: "Aku melihat dalam neraka, ramai antara ahlinya adalah wanita." Maka seorang wanita bertanya: "Mengapa ya Rasulullah?"

Rasulullah menjawab: "Mereka banyak bersumpah dan tidak berterima kasih kepada suaminya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tanggungjawab wanita sebagai hamba Allah adalah dengan melaksanakan ketaatan kepada ibu bapanya sebelum berumah tangga. Apabila berumah tangga ketaatan paling utama selepas Allah dan rasul-Nya ialah kepada suami.

Isteri adalah orang paling hampir yang boleh memberikan ketenangan dan kedamaian dalam jiwa suaminya. Allah menjanjikan balasan paling istimewa kepada isteri solehah dan taat kepada suaminya. Memuliakan suami balasannya adalah syurga. 

Sabda Rasulullah bermaksud: 

"Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkan dia ke syurga lebih daripada suaminya, kerana dia memuliakan suaminya di dunia, maka mendapat pakaian dan wangi-wangian syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya." (Hadis riwayat Ibnu Mas¹ud)

Sekiranya dikaji kisah isteri Rasulullah dan sahabat, selain mengurus rumah tangga dan anak, mereka membantu dalam meninggikan syiar Islam. Ini adalah hasil iman mendalam serta didikan yang berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Cuba hayati kisah Ummu Sulaim atau nama sebenarnya Ramlah Mulaikah, iaitu isteri kepada Abu Talhah. Ketika Abu Talhah melamar Ummu Sulaim, beliau belum memeluk Islam. Namun Ummu Sulaim sedia menerima pinangan Abu Talhah asalkan beliau mahu memeluk agama Islam.

Ummu Sulaim berkata: 

"Aku sanggup berkahwin denganmu tanpa mahar berbentuk barang, tetapi kerana Islammu."

Ini berlainan dengan sesetengah wanita Islam hari ini yang berkata: "Tinggallah agama dan saudara kerana cinta, aku sanggup turutkan." Mereka sanggup menukar agama Islam, semata-mata untuk mendapatkan cinta seorang lelaki bukan Muslim.

Dalam medan perjuangan, Ummu Sulaim terkenal sebagai pembantu Mujahidin. Beliau mengurus makanan, menyediakan air serta mengubati mereka yang cedera parah.

Hasil perkahwinan dengan Abu Talhah, mereka dikurniakan seorang putera yang diberi nama Umair. 

Abu Talhah sangat menyayangi anaknya itu. Pada suatu hari, ketika Abu Talhah tiada di rumah, Umair meninggal dunia. Ummu Sulaim menerima kenyataan itu dengan hati tabah. 

Ummu Sulaim kemudian dengan tenang menceritakan kejadian itu kepada Abu Talhah. Bagaimanapun, suaminya marah dan kecil hati. 

Dengan tenang, Ummu Sulaim berkata : 

"Wahai suamiku, bagaimana jika seorang meminjam sesuatu daripada orang lain, namun ketika pemiliknya ingin meminta kembali haknya itu, orang yang meminjam tadi menjadi marah?" 

Suaminya menjawab: "Sangat tidak wajar dia bersikap demikian."

Kemudian Ummu Sulaim memberitahu: "Anak kita itu adalah pinjaman belaka dan tiba saatnya Allah meminta agar dia dikembalikan." 

Selepas mendengar ucapan Ummu Sulaim itu, maka Abu Talhah reda menerima ketentuan Allah. Begitulah contoh isteri yang sentiasa berbakti kepada suami serta taat kepada perintah Allah dan Rasulullah.

Rumah tangga akan bahagia, jika suami isteri dan anak menjalankan perintah Allah. 

Firman Allah bermaksud: 

"Sesungguhnya lelaki dan perempuan Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Sepuluh syarat dalam surah al-Ahzab ini jika dilaksanakan dalam kehidupan rumah tangga, insya-Allah akan diberikan keberkatan dan pahala besar oleh Allah. Rumah tangga bukan saja bahagia, malah dilimpahi dengan ketenangan, kasih sayang dan mendapat keredaan Allah.

PENULIS ialah seorang guru berijazah dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com

BUAT SEORANG ISTERI

Wahai anakku  
(sumber: http://web.utm.my/wangi) 

Setelah al-Harith bin Amr, raja negeri Kandah berkahwin dengan anak perempuan �Auf bin Muhlim Asyaibani, pada waktu utusan diraja hendak membawa pengantin perempuan untuk disampaikan kepada Raja tadi, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya ini. Dia berkata:- 

 

Wahai anakku!

Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu,

Aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya.

Tetapi!

Ia sebagai peringatan untuk yang lalai

Dan pedoman kepada yang berakal.

 

Andai ibubapamu dapat memberikan segala-galanya,

Nescaya, 

tidak perlu bagimu seorang suami,

 dan kau terlalu berharga bagi kami.

 

Tetapi!

Wanita dicipta untuk lelaki

Lelaki dicipta untuk wanita.

 

Bercerailah kau dari ayunan buaianmu

Meninggalkan teratak tempat besarmu

Melangkah menuju ke alam baru

Yang belum kau kenal

Yang belum kau biasa

 

Kau milik suamimu

Anggap dirimu sebagai hamba

Jadilah teman yang paling setia

 

Bawalah wasiat dariku

Sepuluh sifat 

sebagai bekalan perjalanan 

menuju alam bahagia

 

Relakan hatimu 

sekadar yang ada

semoga suci hatimu

dengan taat setia

 

Dan hulur tanganmu 

tanda mahu berganding bahu.

 

Jauhkan dirimu

 dari segala yang jelek 

yang dihidu atau dipandang mata

 

Juga awasi gerak lakumu 

agar tidak sumbang mengguris rasa

 

Sembunyikan suram wajahmu

Gantikan ia dengan sinar 

secerah sang suria pagi.

Dan badan yang semerbak harum

Bermandikan bauan

Mata berpasak, kening bercelak

Itu menambah seri

Itu membangkit berahi

 

Dan

Air cukup memada

Bagi yang tiada

 

Jaga masa makannya

Juga waktu tidurnya

Kerana

Perut kosong hilang bicara

Mata mengantuk hilang kesabaran di dada

 

Kunci mulutmu

Tabahkan hatimu

Badanmu terselamat

Jiwa temanmu tidak terseksa

 

Simpan dulu kerianganmu

Di kala dia berduka

Pendamkan kesedihanmu

Di kala dia bergembira

 

Akibat aksi tidak senada

Hilang simpatimu disebabkan pertama

Hilang suasana disebabkan kedua

 

Hulurkan tanganmu

Andai kau menghulur sebelah tangan

Nescaya dia menghulur kedua belah tangan

Tidak cukup tangan, nyiur pula ditadahkan

 

Ketahuilah!

Kasihmu tidak sampai ke mana

Jika hatimu berdua tidak sejiwa

Kasihmu, kasihlah dia

Bencimu, bencilah dia

Allah saja yang menentukan nasibmu.

 

Kau bawalah wasiatku ini, dan sampaikan salamku kepada suamimu.

 

Beginilah ibu tadi menambah pesan kepada anaknya. Seterusnya wanita itu telah mencapai kedudukan yang mulia disisi suaminya. Dia telah memperolehi tujuh orang anak lelaki, yang kesemua telah menjadi pemerintah negeri Yaman selepas ayahanda mereka. Beginilah seterusnya status wanita-wanita yang memiliki kelebihan.

 

Adaptasi drpd Al-Mustanir

TAAT PADA SUAMI

From: Kak Emi  
(sumber: http://groups.msn.com/UkhwahMuslimahNagoya/perkahwinan)
 
Antara tanda-tanda diri wanita solehah itu ialah taat kepada suaminya. Taat kepada suami merupakan tempat kedua setelah taat atau patuh kepada perintah dan larangan Allah. Bahkan ketaatannya kepada Allah diukur sejauh mana dia dapat menyelesaikan kewajipannya terhadap suaminya.
 
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya seorang isteri belum dapat dikatakan ia menunaikan kewajipan terhadap suaminya seluruhnya. Jika suaminya memerlukannya,sedangkan pada waktu itu dia sedang berada di atas kenderaann, maka dia tidak boleh menolaknya." [Riwayat Thabrani]
Dalam hadis yang lain pula diterangkan bahawa siapa sahaja isteri yang penuh keikhlasan dalam melaksanakan tugasnya sebagai isteri, serta beriman kepada Allah maka ia berhak memperolehi syurga.

Rasulullah saw bersabda: 

"Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram dan ia taat kepada suaminya, maka ia akan di persilakan masuk kedalam syurga dari pintu mana sahaja yang ia kehendaki." 

Dalam hadis yang lain pula diterangkan:

"Apabila seorang isteri itu telah meninggal dunia dan suaminya redha akan dirinya, maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga."

Dari hadis diatas dapatlah di simpulkan bahawa apabila seseorang isteri telah meninggal dunia, sedang waktu hidupnya ia tidak pernah mengecewakan dan menyakiti suaminya maka, syurgalah adalah tempat yang bakal di diaminya. Manakala bagi isteri yang mana waktu hidupnya tidak melaksanakan kewajipannya (selagi tidak bertentangan dengan syara`) maka ia akan memperolehi kehinaan di sisi Allah SWT.