Dec 8, 2008

Kenapa Wanita Merajuk


(Sebahagian petikan yang dipetik dari http://zamanhuda.blogdrive.com)

SIKAP lelaki yang dikatakan tidak peka dengan kehendak dan keperluan wanita dikenal pasti antara punca yang boleh menimbulkan ketegangan dalam perhubungan, sekali gus boleh membawa kepada putusnya hubungan sekiranya tiada percubaan untuk meleraikan kekusutan yang timbul.

Perbezaaan pendapat juga secara tidak langsung boleh menimbulkan salah faham terutama dalam perhubungan yang terjalin.

Wanita sering dikaitkan dengan unsur sensitiviti yang berkaitan dengan emosi. Pelbagai tanggapan diberikan terhadap wanita di atas sikap dan perlakuan wanita yang dilihat secara kasarnya begitu sensitif dan emosional dalam menangani isu yang berkaitan..

Disebabkan kawalan emosi yang kurang stabil dan lemah itulah menyebabkan wanita banyak dikaitkan dengan elemen kelemahan seperti bersikap suka marah-marah, manja tak kena tempat, suka menangis tidak tentu pasal, naik angin hingga berangin orang sekelilingnya, suka sakit hati, rajuk hati, kecil hati hingga sikap ini membuat wanita menjeruk hati dan makan hati.

Sikap sebegitu dilihat satu kelemahan bagi wanita kerana mereka dikatakan tidak rasional dan kurang fokus terhadap masalah yang dihadapinya. Malah, wanita dilihat tidak berupaya untuk menjalankan kerja yang lebih berat khususnya mengetuai sesuatu jabatan atau pasukan disebabkan kawalan emosi yang lemah dalam menangani sesuatu permasalahan.

Satu kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan lelaki berpendapat isu seperti tidak mengingati tarikh istimewa khususnya hari jadi teman wanita dan ulang tahun adalah perkara remeh sedangkan wanita menganggap peristiwa berkenaan sesuatu yang cukup istimewa dalam hidup mereka.

Kajian itu adalah untuk mengetahui persepsi responden terhadap aspek merajuk dan apa tindakan dalam mengatasi sikap merajuk yang dianggap boleh menyebabkan keruntuhan sesuatu perhubungan.

Begitupun, tidak kira apapun tanggapan negatif terhadap turun naik emosi wanita itu yang menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan, wanita itu sendiri ada alasan tersendiri terhadap setiap sikap itu.

Dalam kajian yang dijalankan terhadap lebih 100 responden berusia antara 25 tahun hingga 47 tahun itu, didapati jawapan responden wanita hanya difokuskan kepada aspek kekeluargaan dan sikap pasangan mereka, dan tidak ditumpukan pada aspek rakan serta kerjaya meskipun soalan dikemukakan tidak tertumpu kepada perhubungan tertentu.

Ada responden wanita yang menyatakan mereka mudah berkecil hati apabila teman lelaki atau suami mereka tidak memuji masakannya atau memuji wanita lain di hadapan mereka.

Dalam hubungan itu, berdasarkan pemerhatian lelaki akan cuba memujuk wanita berkenaan, tetapi apa yang menjadi masalah apabila pada satu peringkat lelaki mulai bosan dengan sikap yang dianggap keterlaluan itu.

Jenuhlah teman lelaki atau suami wanita itu menggunakan pelbagai strategi untuk memujuk hingga menimbulkan kebosanan untuk terus memujuk jika apa juga yang dilakukan tidak diendahkan oleh wanita yang begitu kuat rajuknya itu. Sampai pada satu peringkat, akan kedengaran lelaki yang sudah bosan dengan rajuk wanita dan membiarkan sikapnya.

Malah, dalam kajian yang dilakukan itu ada responden lelaki yang mengatakan wanita sensitif tidak tentu pasal kerana inginkan perhatian sedangkan lelaki banyak perkara penting yang mereka hendak fikir. Ini secara tidak langsung menunjukkan jika pada peringkat itu wanita masih bersikap sebegitu, perhubungan yang dijalin mungkin akan sampai ke tahap noktah.

Berdasarkan pelbagai jawapan yang diberikan responden lelaki itu bolehlah dijadikan panduan dan sempadan kepada wanita bahawa merajuk yang keterlaluan akan mendatangkan kebosanan pada pihak lelaki. Janganlah menjadikan merajuk itu sebagai senjata dalam sesuatu perhubungan, tetapi jadikan merajuk itu sebagai satu imej untuk menunjukkan pada suami atau teman lelaki bahawa ada masa dan ketikanya tindakan mereka itu salah dan perlukan satu perubahan bagi membentuk perhubungan yang lebih baik.

Hasilan kajian itu diringkaskan seperti berikut:

Apa yang menyebabkan wanita suka merajuk?

(Bagi soalan ini ditujukan kepada responden wanita yang berada dalam kategori umur 25 – 45 tahun yang sudah berumahtangga dan masih bujang)

1. Keinginan tidak diambil perhatian oleh pasangan lelaki/suami dan mereka tidak ambil kisah akan perasaan keinginan wanita itu.

2. Tidak sensitif terhadap perasaan wanita yang prihatin dalam sesuatu perkara dan pasangan hanya memandang remeh segala pandangan wanita.

3. Tidak peka pada hari-hari istimewa pasangan dan kena diberitahu pada pasangan mengenai hal itu.

4. Memuji wanita lain di depan isteri/teman wanita.

5. Menyindir mengenai imej dan personaliti isteri/teman wanita dan membandingkan dengan wanita lain.

6. Tidak menjamah atau makan makanan yang disediakan kerana dirasakan tidak sedap atau tidak kena selera.

7. Tidak memuji pasangan pada ketika pasangan perlu pujian itu.

8. Suami/teman lelaki lebih suka bercakap dan bergurau dengan teman sekerja wanita atau lelaki berbanding isteri/teman wanita.

9. Kedekut dan tidak suka mengeluarkan belanja untuk keperluan isteri/teman wanita.

10. Suka memerintah dan tidak suka membantu kerja rumah. Suka mengkritik isteri yang sibuk membuat kerja rumah, tetapi tidak mahu menolong.

11. Selalu keluar rumah dan balik lewat, tetapi tidak memberitahu sebab mengapa pulang lewat dan sebagainya.

12. Tidak suka membeli buah tangan pada anak dan isteri apabila balik dari kerja dan sebagainya.

13. Tidak suka berhubung dengan telefon dan sistem pesanan ringkas (SMS) jika ada kerja luar atau berpergian.

14. Suami melebihkan ibu bapa dan adik beradiknya dan sanggup berhabisan untuk mereka, tetapi tidak mempedulikan keluarga sendiri.

15. Sering memberi pujian dan senyuman yang mesra untuk orang lain, tetapi dengan pasangan atau anak isteri garang dan tidak mesra.

16. Ada duit digunakan untuk belanja rakan dan saudara mara sedangkan anak isteri di ketepikan.

17. Mudah mesra dengan orang lain, tetapi tidak mesra dengan keluarga sendiri.

18. Bila balik kampung isteri, bersikap dingin dan tidak mesra.

19. Tidak membela anak isteri apabila ada saudara mara dan ipar duai menyindir kekurangan anak isteri.

20. Tidak suka menemani isteri membeli belah kerana malas hendak melayan isteri

21. Tidak suka membelai mesra anak isteri pada saat anak isteri memerlukan seperti anak isteri sakit atau meraikan kejayaan mereka.

22. Suka bercakap kasar dan menengking pada anak isteri.

23. Tidak suka meraikan hari istimewa isteri seperti isteri naik pangkat dan sebagainya.


No comments: