Dec 8, 2008

Tip kepada wanita agar tidak terjebak dalam perhubungan haram


(Dipetik dari http://camarsepi1.blogdrive.com)

1. Sebagai wanita, ingatlah walau ke mana anda pergi, anda mestilah mengekalkan identiti sebagai seorang muslimah yang solehah. Sebagai muslimah, kita adalah wanita islam yang tunduk dan patuh kepada ajaran islam. Sebagai mukminah, kita harus beringat ke mana pun kita pergi, allah tetap melihat perbuatan yang kita buat, mestilah yang membawa kebaikan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

2. Jaga penampilan. Mestilah menutup aurat, menggunakan komunikasi lisan yang tidak mendorong lelaki ke arah syahwat, juga tidak menyakitkan orang lain. Komunikasi itu biarlah memberikan faedah kepada diri sendiri dan orang lain.

3. Kawal intonasi suara, jangan sampai intonasi yang digunakan mempunyai unsur godaan terhadap lelaki. Jika tertarik kepada seseorang lelaki, jangan gunakan unsur godaan. Sebaliknya gunakan minda, intelektual dan kebijaksanaan untuk 'memikat' atau 'memancing' seseorang. Ini kerana yang kekal hanya keintelektualan itu sahaja. Sekadar menggunakan penampilan diri yang cantik, kecantikan itu tidak kekal lama. Hari ini kita mungkin kecil langsing tetapi esok mungkin gemuk, hari ini kita boleh bersuara lemah-lembut tetapi esok-esok terserlah juga sikap yang sebenarnya. Tetapi pemikiran tidak berkurangan, sebaliknya akan jadi lebih matang dari hari ke sehari. Lelaki yang beroleh isteri yang bijak, maka isteri itulah yang dicari jika dia mendapat kebuntuan untuk dijadikan pakar rujuknya. Tetapi jika seorang isteri itu hanya berbekalkan kecantikan tanpa kebijaksanaan mental dan tiada kelembutaan emosi, tidak mustahil suami akan berpaling kepada wanita lain yang mempunyai ciri-ciri yang dia mahu. Apapun wanita mesti mempertahankan kebijaksanaan dan kehalusan emosi.

4. Wanita hari ini dengan multiple role (pelbagai peranan) (sebagai isteri, ibu, pekerja) tidak dinafikan sarat dengan bebanan yang 'ditempahnya sendiri'. Ini kerana apabila seorang wanita menerima lamaran, bermakna dia bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Apabila dia bersedia untuk bersama suami, bermakna dia menempah satu lagi tanggungjawab untuk menjadi seorang ibu. Tetapi pada masa yang sama, dia masih ingin berkhidmat kepada masyarakat dan menempah beban untuk bertugas. Justeru untuk mengharmonikan semua itu, wanita harus ingat, bahawa suami mesti diutamakan. Ke mana pun isteri pergi, dia membawa maruah suami. Sama seperti suami, ke mana pun dia pergi dia membawa maruah isteri. Penampilan dirinya bermakna penampilan orang di sebaliknya iaitu isteri atau suaminya.

5. Bagi wanita bujang pula, ke mana sahaja dia pergi, dia membawa maruah ibu bapanya. Masyarakat tidak bertanya, "siapa wanita itu?" sebaliknya yang selalu ditanya orang, "dia anak siapa?" bagi wanita bujang, jika sekali dia diberikan label buruk, sampai bila-bila pun gelaran itulah yang diingati orang dan menenggelamkan semua kebaikan yang dilakukannya. Kerana itu peliharalah kehormatan diri dan jangan buka ruang-ruang fitnah.



No comments: