Dec 29, 2008

APABILA SEORANG IBU BERAZAM....

 Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah. Semoga tahun ini dan tahun tahun-tahun seterusnya kita sebagai ibu mampu menjalankan tanggungjawab dan amanah Allah untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang beriman dan beramal soleh.

Pada hari pertama tahun baru Islam ini, untuk pertama kali saya menulis di blog saya ini.Moga selepas ini dan dengan semangat yang baru, akan menyusul tulisan-tulisan saya berkaitan dengan wanita. Moga saya mampu menulis sesuatu yang memberi ingatan kepada saya dan insan yang bergelar wanita dan sesuatu yang bermanfaat kepada kita semua. Insyaallah.

Seperti lazimnya, setiap kali munculnya tahun baru sana sini orang sibuk membicarakan tentang azam tak kiralah sama ada tahun baru mengikut kalendar Islam atau kalendar orang putih.. Lazimnya, sebagai ibu memang kita sedar bahawa anak-anak kita wajar digalakkan membina azam.Azam merupakan pemangkin gerakan dari dalam diri ke arah sesuatu yang positif. Sebagai ibu, tentunya kita amat menggalakkan anak-anak untuk membina azam, walau baru setahun jagung umurnya. Ibu merupakan insan yang paling gembira andai anak-anak yang sudah bersekolah, mempunyai azam untuk mendapat kejayaan dalam peperiksaan. Azam menjadi pendorong dalaman yang mampu menolak anak-anak supaya rajin belajar dan berusaha gigih untuk berjaya dalam pelajaran.. 

 Namun, pernahkah ibu sendiri yang membina azam? Apakah agaknya azam seorang yang bergelar ibu? Pernahkah kita terfikir bahawa andai kita membina azam terutamanya pada lembaran baru ini, kita akan lebih bersemangat untuk memainkan peranan kita sebagai ibu yang tentunya memikul satu tugas yang berat. Sememangnya hanya setelah kita bergelar ibu atau mama atau maka atau ummi atau apa sahaja panggilan yang dibuat oleh anak, barulah kita akan tahu betapa besarnya pengorbanan yang perlu dibuat. Bukan mudah untuk menjadi ibu yang baik apatah lagi menjadi ibu mithali atau ibu yang HEBAT di mata anak-anak.

Pernahkah kita bertanya pada anak-anak, hebatkah diri kita? Mungkin kita hanya insan biasa bukan sesiapa atau ‘somebody’ tetapi bagaimanakah perasaaan seorang ibu kiranya bukan sekadar menyayangi tetapi anak-anak mengagumi kita dan meletakkan kita pada tahap yang tinggi di hati mereka.

Teringat saya, anak saya yang berumur 5 tahun entah beberapa kali bertanya kepada saya. “Hebat tak abang?” Soalan itu pasti diaju setiap kali dia habis bercerita tentang perkara-perkara yang ingin direka dan diciptanya. Anak saya ini memang penuh dengan imaginasi. Sampaikan pernah dia menceritakan bagaimana dia ingin mencipta sejenis alat yang boleh mengawal saya supaya menurut kata-katanya, misalnya membeli kek apabila diARAHkannya menggunakan alat pengawal yang dicipta.Katanya lagi,hanya setelah ibu selesai membeli kek itu, baru ibu tersedar dan bertanya sendiri kenapa dan bagaimana ibu boleh beli kek dan berikan kepadanya. Wah! Ada hati nak kawal ibu supaya memenuhi kehendak hatinya.

 Berbalik kepada persoalan tadi, setelah diajukan soalan yang sama setiap kali yang jawapannya tentunya “Anak ibu memang hebat!”, terlintas pula saya untuk bertanya kepadanya. “Ibu hebat tak,abang?” Tanpa berfikir panjang, anak saya Izz terus menjawab dengan penuh yakin. “Ibu memang hebat!”.Terukir senyum lebar di wajah saya.Bahagianya rasa apabila di mata anak saya , saya merupakan ibu yang hebat! Bagaimana perasaan anda jika anak anda atau anak-anak anda menyatakan perkara yang serupa kepada anda?

Lantas, sebagai membuka lembaran baru dalam hidup, saya bertekad membina azam menjadi ibu yang HEBAT di mata anak-anak saya.Jadi untuk menjadi HEBAT, saya perlu juga membina azam yang lain lantaran azam yang besar perlu disokong oleh azam-azam yang kecil.

Pertamanya, saya berazam untuk memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada anak-anak saya.Walau sesibuk manapun saya, saya akan memeluk, membelai dan mencium anak-anak saya setiap hari. Pelukan kasih sayang seorang ibu merupakan penyejuk hati anak-anak. Saya tahu dan sedar itu. Kata-kata kasih sayang akan sentiasa membasah bibir saya setiap hari. Ucapan kasih sayang seorang ibu merupakan penenang perasaan dan jiwa anak-anak terutamanya anak-anak yang meniti usia remaja. Biar di hatinya penuh dengan kasih sayang ibunya.
Keduanya, saya berazam untuk menjalankan tanggung jawab saya sebagai ibu dalam membesar dan mendidik anak-anak sebaik yang termampu. Saya berazam untuk memberikan anak-anak pendidikan agama dan duniawi yang seimbang kepada anak-anak supaya anak-anak saya menjadi anak-anak yang soleh, yang beriman dan bertakwa kepada Allah. . Jiwa anak saya yang sedang meningkat remaja, yang tentunya kosong biar diisi dengan santapan rohani supaya dia bisa meniti zaman remaja dalam landasan yang betul dan dilindungi Allah sentiasa.

Ketiga, saya berazam untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama anak-anak . Saya mungkin tidak mampu meluangkan masa yang banyak dengan anak-anak. Namun saya berazam memberi ruang masa yang berkualiti setiap kali berkesempatan bersama-sama anak-anak. Pada kesempatan yang ada, saya akan mendengar cerita-cerita mereka, berkongsi kegembiraan mereka dan kesedihan mereka. Pada siapa lagi, anak-anak hendak mengadu, kalau tidak kepada ibu mereka?

Keempat, saya berazam untuk memberikan anak-anak saya makanan yang berkhasiat supaya saya dapat menjaga kesihatan mereka. Otak yang cergas terletak pada badan yang sihat. Saya tahu itu tapi kadang-kala saya lalai dalam menjalankan tanggung jawab saya sebagai ibu. Kadang-kala saya malas nak memasak lanataran penat bekerja. Kerana sibuk, anak-anak menjamu selera ala kadar saja.Walaupun saya gantikan dengan pemberian makanan suplemen namun saya tahu ia belum cukup dan belum memadai.

Jadi, bermula hari ini, saya akan pastikan anak-anak saya bersarapan sebelum ke sekolah dan anak-anak menikmati makanan yang seimbang dietnya.Insyaallah. Sebenarnya anak-anak akan kurang bersemangat dan bertenaga untuk ke sekolah sekiranya tidak mendapat pemakanan yang seimbang. Kalau terjadi begitu, bagaimana dia hendak belajar dengan baik. Bebanan yang dipikul oleh anak-anak terutama yang sudah bersekolah amatlah berat. Mereka memerlukan tenaga dan pemakanan yang seimbang.Oleh itu ,tugas dan tanggungjawab saya sebagai ibu untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

Jadi, langkah pertama saya dalam usaha saya merealisasikan azam ini adalah dengan melihat kelemahan diri saya sendiri supaya saya dapat memperbaik segala kesilapan yang pernah dilakukan dalam mendidik anak-anak. Ibu juga manusia biasa, yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Namun saya yakin, jika saya mencuba saya masih berpeluang untuk memperbaiknya. 

Saya tidak mahu menjadi ibu yang menyesal pada kemudian hari. Saya tidak mahu menunding jari kepada anak-anak atas segala kesilapan yang mereka lakukan kelak. Saya tidak mahu merungut pada kemudian hari andai anak-anak saya tidak mahu mendengar kata-kata saya, melawan cakap saya malah menderhakai saya sedang saya sendiri menafikan hak-hak mereka sebagai anak. 

Semoga dengan azam ini, saya akan lupa akan segala kepenatan dan kesusahan menjadi seorang ibu dan menjadi lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya. Moga segala cabaran dan dugaan membesar dan mendidik anak-anak dapat saya tempuhi dengan sabar dan tabah. Saya akan ingat azam saya setiap kali dugaan menimpa supaya saya kembali bersemangat untuk memikul tanggungjawab seorang ibu walau sesukar manapun perjalanan yang perlu saya lalui.

Anak-anak bukan pembawa masalah. Namun anak-anak merupakan AMANAH daripada Allah dan NIKMAT yang tidak dapat dinilai denganwang yang dianugerahkan Allah kepada kita. Maka layak lah kiranya kita sentiasa bersyukur kepada-Nya dan menghargai pemberian-Nya itu. Moga anda ,insan bergelar ibu, sama seperti saya. Maka marilah bersama-sama saya membina azam untuk anak-anak kerana Allah. 

Insyaallah, anda dan saya akan dibantu oleh Allah dalam usaha kita memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Saya yakin, andai semua insan yang bergelar ibu membina azam demi anak-anak, kita akan lebih gembira,bahagia serta redha dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai ibu. Anak-anak kita akan menjadi anak-anak yang berjaya dunia dan akhirat. Bukankah tangan yang menghayun buaian mampu menggegar dunia? Maka apabila ibu berazam...tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.Insyaallah.





No comments: