Dec 8, 2008

Tidak mahu bersuami, tapi hendak anak

(Dipetik dari Utusan Malaysia 2 Januari 2007 bersamaan 12 Zulhijjah 1427
Hijrah

Oleh SAPORA SIPON

DILAPORKAN, kecenderungan golongan wanita profesional yang belum berkahwin tetapi lebih suka mengambil anak angkat dan memakan pil penggalak susu badan untuk bayi angkat mereka semakin meningkat.

Isu ini mungkin ada mungkin tiada kaitannya dengan persepsi wanita terhadap institusi perkahwinan yang dianggap menyusahkan mereka. Bagaimanapun, setiap mereka yang mengambil anak angkat mempunyai sebab-sebab tersendiri terutama sekali bagi wanita yang belum berkahwin. Apa yang paling penting ialah mereka tidak mensia-siakan tanggungjawab terhadap anak angkat itu.

Banyak sebab mengapa wanita lambat berkahwin. Ada yang mengaitkannya dengan soal jodoh, kerjaya, cita-cita, kewangan, keinginan, cita rasa, konflik kehidupan dan juga sejarah hidup.

Kajian yang dilakukan di sebuah universiti di Britain berkaitan dengan wanita dan perkahwinan wajar direnung oleh kaum lelaki dan perempuan. Kajian tersebut mendapati bahawa wanita yang lebih bijak kurang untuk mendapat jodoh. Kajian itu mendapati semakin tinggi tahap kecerdikan seorang wanita semakin kurang peluangnya untuk mendapat jodoh.

Bagi setiap kenaikan 16 mata tahap kecerdasan, peluang untuk mendapat jodoh akan turun sebanyak 40 peratus.

Keadaannya berbeza dengan lelaki. Setiap 16 mata naik, peluang untuk mendapat jodoh dan berkahwin naik sebanyak 35 peratus.

Andaian yang dibuat oleh kajian tersebut ialah lelaki hanya ingin berkahwin dengan wanita yang tidak sebijak mereka. Semakin bijak seorang wanita, semakin kurang lelaki ingin mendampinginya.

Andaian seterusnya ialah wanita yang bijak berkemungkinan tidak akan kahwin pada usia awal kerana mengejar kerjaya dan cita-cita.

Seterusnya, andaian kajian tersebut ialah wanita cerdik hanya akan memilih lelaki cerdik yang kebiasaannya kurang tampan. Dikaitkan ramai wanita membuat andaian bahawa ramai lelaki adalah kejam dan akan meninggalkan isteri mereka untuk wanita yang lebih muda.

Apa yang ditulis adalah dapatan kajian tersebut. Mungkin kebenarannya jauh dari realiti. Hanya tuan badan sahaja yang mengetahuinya.

Satu artikel yang bertajuk I don’t want to get married menjelaskan bahawa ramai wanita yang tidak mahu berkahwin kerana terpengaruh dengan cerita-cerita yang mereka baca daripada novel, menonton drama dan filem yang tentunya banyak menceritakan tentang tragis alam perkahwinan.

Bagaimanapun, artikel tersebut juga menjelaskan bahawa kehidupan adalah lebih baik jika dikongsi. Ini bermakna kehidupan alam perkahwinan dan rumah tangga membawa banyak makna kegembiraan dan juga kepuasan hidup.

Artikel itu berakhir dengan mengajak wanita muda untuk berfikir bahawa ramai lelaki baik menunggu untuk dicintai dan mencintai. Janganlah hidup bersendirian dan menganggap ia satu kejayaan.

Soal kahwin adalah soal jodoh dan ketentuan Allah s.w.t. Tiada siapa yang boleh menolak takdir. Wanita yang tidak berkahwin kerana tidak bertemu jodoh tidak boleh dipandang negatif dan perlu dihormati.

Banyak juga faktor-faktor lain yang menyebabkan wanita tidak berkahwin. Apapun, mereka wajar menikmati sebuah kehidupan yang bahagia.

Jangan hanya kerana mereka tidak berkahwin, masyarakat memandang serong kepada mereka.

Begitu juga mengenai isteri yang ditinggalkan suami, bercerai atau berpisah mati. Status perkahwinan mereka tidak boleh menghalang mereka untuk menikmati sebuah kehidupan yang bahagia. Masyarakat juga tidak wajar mempunyai persepsi negatif terhadap mereka.

Menganggap perkahwinan sesuatu perkara yang menyusahkan perlu direnungkan semula kerana kehidupan dalam apa pun keadaan, berkahwin atau tidak menghadapi cabaran-cabaran tersendiri dan perlu dilalui dengan penuh kesabaran. Pelbagai keadaan yang tidak terduga mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku.

Perkahwinan seperti juga bentuk kehidupan lain. Ada suka dan dukanya.

Institusi perkahwinan yang sah adalah sebagai ikatan kekeluargaan bagi menyambung zuriat dan juga perkembangan umat manusia.

Penyambungan zuriat dan perkembangan umat manusia wajar berlaku bagi melahirkan generasi pelapis yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Ini penting bagi mewujudkan generasi baru yang berilmu dan pencorak kemajuan masa depan.

Semua pihak perlu berganding bahu membangunkan institusi kekeluargaan khususnya di kalangan masyarakat belia supaya mereka menyedari dari awal lagi bahawa ikatan perkahwinan itu adalah sesuatu yang penting.


No comments: