Dec 8, 2008

Wanita dan Kerjaya Dari Perspektif Islam

(Dipetik daripada http://haluantarbawi.com)

Pendahuluan 

Peranan wanita dalam kehidupan manusia sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Namun, perubahan masa menjadikan kedudukan wanita menjadi semakin penting. Akibatnya ia memberi kesan kepada struktur sosial, ekonomi, politik dan bahkan kepada institusi keagamaan. Keadaan ini menjadikan berlaku perubahan yang sukar dibendung. Kita perlu menanggani permasalahan yang timbul. Penulisan ini diharapkan akan meneroka jalan kepada perbincangan yang lebih teliti dan muktamad kepada pengurusan berhubung dengan wanita. Insya Allah. 


Untuk melihat apakah peranan yang perlu dimainkan oleh wanita maka perlulah kita melihat contoh bagaimanakah peranan yang dimainkan oleh wanita generasi awal terutama generasi contoh di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Walau bagaimana pun contoh-contoh semasa juga tidak kurang pentingnya. Kata pujangga "seorang ibu memerlukan masa selama 20 tahun untuk membesarkan seorang anak tapi seorang wanita memerlukan hanya 20 saat untuk menjatuhkannya". Ini bermakna kita seharusnyalah memberikan perhatian yang serius dalam proses penyebaran, pembinaan dan peningkatan penghayatan kerja-kerja dan amal dalam Islam. Ini ialah kerana kedua-dua golongan yang membesarkan dan menjatuhkan tadi terdiri dari satu jenis manusia sahaja iaitu wanita. Persoalannya ialah bagaimana untuk melahirkan kedua-dua golongan ini yang boleh berfungsi kearah berkhidmat untuk Islam. 


Siapakah wanita? 


Wanita adalah makhluk ciptaan Allah s.w.t yang dihiasi dengan sifat-sifat mulia. Dijadikan dari jiwa yang satu dan dari tanah yang sama dengan kaum lelaki. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud "Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang mencipta kamu dari jiwa yang satu dan daripadanya (Allah) menciptakan isterinya". (An-Nisa 4:1). Mereka bersifat pemalu, cantik, lemah lembut, penyantun dan halus perasaan, sesuai dengan sifat-sifat mereka sebagai wanita. Mereka merupakan ibu, pendidik dan isteri, yang mana nantinya suami akan merasa tenang dan bahagia di samping mereka. Ketenangan dan kebahagiaan ini akan membawa kepada kebahagiaan individu dan seterusnya kepada kebahagiaan masyarakat dan negara. 


Wanita Sebagai Satu Entiti Tersendiri 


Dalam Islam wanita adalah satu entiti bebas yang tersendiri, dan dengan demikian ia mempunyai tugas dan tanggungjawab sebagai manusia yang tersendiri. Islam melayan wanita secara langsung tanpa melalui agensi Muslim lelaki. Seorang akan memikul sepenuh tugas dan tanggungjawab setelah baligh dan menerima ajaran Islam. [Rujuk umpamanya surah Al Mumtahanah 60:12, Ali Imran 3:95, An Nahl 16:97, An Nisa 4:32, Abasa 80:35-38 ] 


Al-Quran dalam surah Al Mumtahanah 60:12 menjelaskan; 

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا جَاءكَ الْمُؤْمِنَاتُ يُبَايِعْنَكَ عَلَى أَن لَّا يُشْرِكْنَ بِاللَّهِ شَيْئًا وَلَا يَسْرِقْنَ وَلَا يَزْنِينَ وَلَا يَقْتُلْنَ أَوْلَادَهُنَّ وَلَا يَأْتِينَ بِبُهْتَانٍ يَفْتَرِينَهُ بَيْنَ أَيْدِيهِنَّ وَأَرْجُلِهِنَّ وَلَا يَعْصِينَكَ فِي مَعْرُوفٍ فَبَايِعْهُنَّ وَاسْتَغْفِرْ لَهُنَّ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ {12} 

"Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah; tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". 


Ini jelas menunjukkan bahawa Allah sendiri mengarahkan Rasulullah s.a.w supaya menerima janji setia golongan wanita setelah mereka memenuhi beberapa syarat yang telah digariskan oleh Al-Quran. 


Dari segi amalan persoalan jantina tidak penting, kerana yang diukur ialah amalan itu sendiri, samaada ia datang dari lelaki atau perempuan saperti yang dijelaskan oleh Al-Quran dalam surah Ali Imran 3:195 

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لاَ أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنكُم مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى بَعْضُكُم مِّن بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُواْ وَأُخْرِجُواْ مِن دِيَارِهِمْ وَأُوذُواْ فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُواْ وَقُتِلُواْ لأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأُدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ ثَوَابًا مِّن عِندِ اللّهِ وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ {195} 

Yang bermaksud: 

"Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman): Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang-orang yang beramal diantara kamu, baik laki-laki atau perempuan (kerana) sebahagian kamu adalah turunan dari sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan Ku, yang berperang dan yang dibunuh, pastilah akan Ku hapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai dibawahnya, sebagai pahala di sisi Allah. Dan Allah di sisiNya pahala yang baik". 


Perkara yang sama juga dijelaskan oleh Al-Quran dalam surah An Nahl 16:97. 

Di samping itu Allah memperingatkan kita supaya tidak irihati terhadap kelebihan seorang dengan seorang yang lain. Itu memang satu fitrah yang lumrah. Dalam surah An Nisa 4:32 dijelaskan: 


وَلاَ تَتَمَنَّوْاْ مَا فَضَّلَ اللّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُواْ اللّهَ مِن فَضْلِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا {32} 


"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahgian kamu lebih banyak dari sebahgian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu" 


Di Akhirat pula Allah menggambarkan betapa suasana yang berlaku ialah suatu keadaan dimana masing-masing ingin menyelesaikan masalahnya secara yang tersendiri hingga lupa kepada sanak saudaranya walau pun yang terdekat. Surah 'Abasa 80:34-37 menjelaskan:  

يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ {34} وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ {35} وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ {36} لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ {37} 


"Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dan isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan". 


Dari dalil-dalil Al Quran di atas jelas menunjukkan bahawa wanita adalah satu identiti yang diiktiraf oleh Islam secara tersendiri. Bahkan Islam telah melaksanakan satu revolusi terhadap kaum wanita, di mana wanita sebelum Islam hanya alat pemuas hawa nafsu lelaki semata-mata. Majlis tidak akan meriah tanpa arak dan wanita. Wanita tidak mendapat tempat dalam masyarakat malah sebagai satu makhluk yang memalukan keluarga hingga anak perempuan yang lahir akan ditanam hidup hidup atau kalau sudah besar akan dibunuh. Tapi dengan kedatangan Islam, wanita telah terangkat kedudukannya. Bagi Islam bila wanita itu masih anak-anak, ibu bapa yang menjaga dan memeliharanya hingga melahirkan anak yang solehah akan dibalas Syurga; jika ia masih muda belia dan solehah timbangannya lebih berat dari dunia dan isi kandungannya; jika ia seorang isteri, menjaganya mendapat pahala sedekah; jika ia seorang ibu, syurga di bawah tapak kakinya. Itulah dia wanita! 


Tugas manusia yang sedia dimaklumi ialah untuk melaksanakan ubudiyah hanya kepada Allah jua saperti yang terkandung di dalam Al-Quran surah Adz-Dzaariyaat 51:56 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ {56} 

Yang bermaksud: 

"Dan Aku tidak jadikan jin manusia kecuali untuk menyembahKu". 


Jadi tugas individu Islam termasuk lelaki dan perempuan adalah untuk berusaha di peringkat individu, keluarga, masyarakat juga negara sehingga Deen Allah S.W.T terlaksana di atas muka bumi secara syamil dan kamil di mana Ubudiyah terhadap Allah S.W.T dapat dilaksanakan secara bebas dan merdeka. 


Peranan Wanita Generasi Awal Sebagai Satu Pengajaran 


Dalam kesempatan ini kita fokuskan peranan wanita kepada lima perkara utama termasuk: 

1. Tugas Hakiki dan Asasi 
Tugas Wanita Yang Utama 
Memperlengkapkan Diri Dengan Ilmu 
Dakwah 
Jihad 
Kerjaya 

Tugas Hakiki dan Asasi 

Sebagai wanita tugas hakiki dan asasi serta tugas pertama dan utama ialah tugas dan tanggungjawab terhadap Deennya iaitu Islam. Perlaksanaan tugas-tugas lain hanyalah terbitan dari tugas ini. Dari segi perlaksanaan walau sesempurna mana tugas-tugas lain dilaksanakan namun tanpa tugas ini semuanya terbatal. Oleh hal yang demikian suatu persiapan awal mestilah dibuat agar urusan Ubudiyah, Keimanan dan Aqidah serta yang sehubungan dengannya diberi perhatian yang setimpal sebelum tugas-tugas lain dipikul. Namun begitu bukanlah bermakna bahawa tugas-tugas lain tidak boleh dilaksanakan sebelum tugas Deen ini selesai, kerana antara tugas Deen dan tugas-tugas lain adalah saling kait mengait dan tidak tersendiri. Kesedaran dan penghayatan terhadap Deen yang tinggi seharusnya meningkatkan juga komitmen terhadap tugas-tugas yang lain. Sebagai satu proses timbal balik perlaksanaan terhadap tugas-tugas lain seperti kerja kerja kebajikan umpamanya akan meningkatkan lagi kesedaran, kefahaman dan keimanan. Kerana urusan Deen ialah urusan seluruh hidup maka kerja kebajikan tersebut akan memberi saham yang sama dalam proses penghayatan terhadap Deen Allah S.W.T. 

Penghayatan tugas-tugas Deen seperti Solat, Puasa, Zakat dan Haji adalah satu tugas yang tidak ada tolak ansur. Penolakannya adalah bermakna penolakan terhadap Islam itu sendiri. Ini bermakna amal-amal yang lain tidak ada asas untuk berpijak dan bertapak. Al-Quran surah At Taubah 9 : 67 menjelaskan "Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka" 

Dengan demikian sebagai wanita tanggungjawab terhadap Deen sudah tidak dapat disangkal lagi. Oleh itu wanita Islam mestilah memperlengkapkan diri dengan iman dan aqidah yang kental. Kekentalan iman dan aqidah menentukan mereka membina satu benteng dalaman yang kukuh dalam menghadapi sebarang pancaroba hidup; tidak mudah terpengaruh oleh suasana malah boleh mempengaruhi suasana. 

Kekentalan Aqidah amatlah perlu diberi keutamaan kerana dengan demikian tugas dan tanggungjawab terhadap Deen ini akan dapat dipastikan berjalan di atas paksinya yang sebenar dan diredhai Allah. Di samping itu ia juga penting untuk menjamin matlamat perlaksanaan tugas dan tanggungjawab tadi berada di dalam matlamat yang diperkenankan oleh Allah S.W.T. Kejelasan jalan dan matlamat tadi seterusnya mestilah berterusan sehingga tercapai matlamatnya atau syahid dalam perjuangan. 

Tugas Wanita Yang Utama 

Perbincangan mengenai tugas atau peranan wanita ini boleh dilihat melalui dua perspektif utama, iaitu dari sudut mikro, di mana wanita dilihat sebagai satu individu dan komponen kecil keluarga. Di satu pihak lagi ia boleh dilihat secara makro dalam mengendalikan urusan Islam secara satu sistem yang syamil dan kamil yang mencakup seluruh bidang hidup. 

Memperlengkapkan Diri Dengan Ilmu 

Ilmu ialah tunggak untuk menjadi orang Islam lagi Beriman. Mengikut Sayed Abul A’LA Al Maududi, Islam itu ialah nama kepada Ilmu dan Penghayatannya. Jadi untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah tidak mungkin berlaku tanpa ilmu. Bahkan pewaris nabi ialah para ulama, dan kedudukan mereka beberapa darjat lebih tinggi berbanding dengan orang-orang yang tidak berilmu. Umumnya ilmu boleh dibahagikan kepada dua iaitu Ilmu Syara’ dan Ilmu Semasa. Dari segi tanggungjawab, kedua-dua jenis ilmu ini wajib dituntut bagi setiap muslim lelaki dan perempuan. 

Contoh wanita utama dari segi keilmuan ialah Syaidatina 'Aishah bint Abi Bakr r.a. Berlatarbelakangkan dari keluarga ternama dan terkemuka dan suka kepada kebajikan menjadikan beliau seorang wanita agong yang punya perawakan istimewa. sebagai satu persiapan untuk memegang tugas besar sebagai pasangan Nabi dan Rasul pilihan. Keistimewan ini menjadikan beliau tiada tandingan di seluruh tanah Arab termasuk Mekkah dan Madinah. Beliau bergelar professor, jurist, lawyer-cum-judge dan biographer bagi sejarah hidup Rasulullah saw. Di samping itu beliau juga pakar dalam sejarah, bahasa, puisi, keturunan bangsa Arab, dan perubatan. Keilmuan beliau terbukti dengn sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Take half of your religion from this Humayraa'(red-faced lady)" (Zakaria Bashier,1990:149). Keilmuan beliau setaraf dengan sahabat-sahabat besar seperti 'Abdullah ibn 'Abbas, 'Ali ibn Abi Thalib, 'Umar ibn al-Khattab dan 'Abdullah ibn Mas'ud. Dalam memutus hukum mengenai zina Syaidina 'Umar ibn al-Khattab r.a pernah merujuk kepada beliau. Beliau juga dikenali dengan gelaran Umm al Mu'minin/The Mother of the Faithful. 

Dalam konteks masa kini dapat dirumuskan bahawa dari segi keilmuan wanita bolehlah mempertingkatkan keilmuannya hingga menjadi pakar-rujuk yang mempunyai autoriti dalam bidang masing-masing . 

Tuntutan bagi mempelajari ilmu syara' merangkumi soal-soal fardhu ain dan fardhu kifayah. Di samping itu, tuntutan dalam ilmu semasa seperti kedoktoran, perguruan, pengurusan, perakaunan dan lain-lain tidak kurang pentingnya. 

Dakwah 

Al Quran dalam hal ini menjelaskan , 

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ 

وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ {71} 

" Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka ta'at kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana," (At Taubah: 9:71). 

Contoh wanita utama dalam kegiatan dakwah masa kini ialah Zainab Al-Ghazali. Beliau diceritakan mengenakan syarat supaya suaminya membenarkannya untuk bergiat di dalam Harakah Islam. Katanya " Hak saya untuk berjihad di jalan Allah swt, di mana saya telah diletakkan tugas-tugas dan tanggongjawab sebagai mujahidin didalam harakah ini. Janganlah engkau bertanya apa yang akan saya buat, tetapi hendaklah engkau yakin dan percaya sepenuhnya akan tindakan saya. Sekiranya berlaku pertembungan di antara perkahwinan dengan da'wah, akan berakhir perkahwinan dan kekal da'wah kepada Allah swt. Saya minta kepada engkau supaya menunaikan janji engkau. Janganlah engkau tanya siapakah saya akan berjumpa. Saya berdoa kepada Allah S.W.T supaya Allah jadikan balasan jihad yang saya lakukan ini sebahagiannya untuk engkau, sekiranya amal saya ini diterima oleh Allah S.W.T" (Petikan dari Mukminah Solehah, ms:109) 

Kita yakin bahawa langkah-langkah yang dijalankan oleh Rasulullah saw dalam da'wah baginda adalah benar-benar tulen sebagai satu contoh yang murni dan praktik, sejak dulu, masa kini juga di masa yang akan datang. Langkah pertama yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dalam membuat perubahan ialah melalui Tarbiyyah atau pendidikan ke atas para sahabat. Mereka dididik oleh Rasulullah s.a.w bukan pada teori bahkan pada diri dan tingkah laku mereka. Tarbiyyah ini meliputi Tarbiyyah Rohani dan Jasmani. Tarbiyyah yang menekankan kepada pembentukan Iman yang mendalam, sehingga tercerna dan lahir dalam tingkah laku mereka, di mana Al Quran tercerna dan tercetak pada diri dan tubuh badan mereka. Sehingga segala tindakan mereka adalah Islam. Dilihat sahaja pada diri salah seorang dari mereka sudah ternampak akan Islam, ternampak akan Daulah Islam pada diri mereka, dan seterusnya hidupnya adalah Islam. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang mendidik jiwa mereka melahirkan manusia mithali yang unggul dalam sejarah peradaban manusia. Demikianlah natijah hasil dari didikan Iman, yang jelas pada sirah pada sahabat. 

Semua ini diyakini oleh Zainab Ghazali sehingga sanggup menghadapi apa saja rintangan dan dugaan demi mempertahankan keyakinan beliau untuk meneruskan misi Rabbani di bumi Allah ini. Walau pun dipenjara dan disiksa namun semangat jihad beliau tidak pernah luntur, bahkan terus bersemarak memimpin Harakah Islam, iaitu Jamaah Saidatina Muslimah, satu gerakan wanita yang selari dengan Ikhwan Muslimin. 


Jihad 

Nusaybah bint Ka'b/Umm 'Umarah, wanita Ansari dari Khazraj di Madinah mempertahankan Rasulullah s.a. dalam perang Uhud. Di saat yang sangat genting memagari Rasulullah s.a.w dengan diri di kalangan kurang daripada 10 sahabat yang tinggal. Mengalami 12 liang luka, satu darinya kena pedang di tengkok yang memakan masa satu tahun untuk sembuh. Namun semangat beliau tetap tidak luntur. Bersama-sama Rasulullah s.a.w dalam Al Hudaibbiyah, Khaybar, dan Hunayn. Beliau ialah seorang ‘public figure of considerable social eminence.’ 

Umm Sulaim bersama Rasulullah saw dalam Perang Hunayn. Mempunyai perawakan luar biasa, ‘orderly mind’, ‘determination and will of a man’. Memeluk Islam sebelum suami. kemudian dapat mengajak suami bersama Islam. Abu Talhah melamar tapi setuju hanya jika beliau masuk Islam. Itu pun selepas anaknya Anas Ibn Malik sudah besar. Umm Haram binti Milhan belayar bersama-sama tentera Islam menakluki Cyprus semasa pemerintahan Mu'awiyah Ibn Sufyan. Beliau dikebumikan di Cyprus. Umm 'Atiyah menyaksikan 7 ekspedisi tentera bersama Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w biasa ziarah dan beristirehat tengah hari di rumah beliau. Di samping itu Rasulullah s.a.w membawa bersama-sama beliau salah seorang daripada isteri Baginda dalam kebanyakan ekspedisi Jihad. Namun tugas utama wanita ialah membantu tentera Muslim dari segi makan minum dan ubatan. Asma binti Yazid membunuh 9 Musrikin. Safiyah bint 'Abd al Muttalib adalah wanita pertama membunuh musrik. 


6. Kerjaya 

"According to Islamic Jurisprudence a woman is competent to own property and dispose of it in any manner. The Shariah generally provides for an equitable and fair role for women in the management of family affairs, they can contribute to the support of the family although they are not legally bound to provide maintenance." [Rujuk Cerita Asma bint Abu Bakr dan suaminya Al Zubair. ( Hassan Turabi. ms 19)] 

Wanita boleh menjalankan perniagaan dan perdagangan. Lihatlah kepada Qailah Umm Bani Atmar, seorang saudagar wanita. Beliau berkata, Saya ialah seorang wanita yang membeli dan menjual. Umar Ibn Al Khattab telah memberi kepercayaan terhadap Penyeliaan Pentadbiran Urusan Jual Beli kepada Saff'a binti Abdullah bin Abd. Shams. Umar biasa meminta khidmat nasihat dari beliau dan meletakkan beliau di tempat yang tinggi. (Hassan Turabi, 1991: 25) 


PENUTUP DAN HARAPAN 


Orang-orang Islam pernah dikuasai dan menguasai. Namun mereka tetap mereka yang dijadikan oleh Allah S.W.T. yang sama melalui proses biologi yang sama, cuma bezanya mungkin tingkat penghayatan dan keimanan, keislaman, ketaqwaan mereka jua. Semuanya berteraskan satu teras yang asas HATI. Oleh sebab itu hati manusia harus diubah hingga lahir hati-hati keluarga, hati masyarakat bahkan hati negara yang terarah di bawah naungan IMAN, ISLAM,. TAQWA dan IHSAN, sehingga seluruh pekerjaan yang lahir darinya menjadi amal soleh dan diredhai Allah S.W.T. 

Firman Allah S.W.T. dalam surah An-Nur 24:55 yang bermaksud: 


وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ 

وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن 

كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ {55} 

"Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh, dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku." 


Hanya orang-orang yang mempunyai hati yang beriman jua akan diberikan kekuasaan di muka bumi ini oleh Allah S.W.T. Oleh sebab itu untuk menguasai bumi ini umat Islam hanya berusaha untuk meningkatkan keimanan. Iman yang aktif bukan pasif, Iman yang konstruktif bukan destruktif. Iman yang mencerahkan seluruh hidup seseorang yang memilikinya. 


Jika keghariban Islam awal telah dapat dihapuskan oleh jihad generasi awal dengan bantuan wahyu Allah S.W.T. di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. maka sudah pasti tugas untuk menghapuskan keghariban Islam kini terletak di atas bahu generasi Islam kini. Kerana wahyu Allah S.W.T. iaitu Al-Quran masih ada dan sunnah Rasulullah s.a.w. masih murni, maka hanya jihad generasi kini yang harus ditingkatkan. Kita harus yakin bahawa dengan bantuan Allah S.W.T masa depan adalah milik kita, milik umat Islam,

No comments: