Dec 8, 2008

Peranan Wanita Dalam Pembentukan Ummah

(Dipetik daripada http://haluantarbawi.com)

Pendahuluan: 


Wanita adalah makhluk ciptaan Allah yang dihiasi dengan sifat-sifat mulia, dijadikan dari jiwa yang satu dan dari saripati tanah yang sama dengan kaum lelaki. Firman Allah s.w.t: 


Terjemahannya : 

" Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan wanita yang banyak. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu. " 

(Surah An Nisa: 1 ) 


Mereka bersifat pemalu (cantik), lemah lembut, penyantun dan halus perasaan, sesuai dengan sifat-sifat mereka sebagai wanita. Merupakan ibu, pendidik dan isteri yang mana nantinya suami akan merasa tenang dan bahagia di samping mereka. Ketenangan dan kebahagiaan ini akan membawa kepada kebahagian individu dan seterusnya kepada kebahagiaan masyarakat dan ummah Islamiyyah itu sendiri. 


Firman Allah s.w.t : 


Terjemahannya:- 

" Dan diantara tanda-tanda kekuasanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir " 

(Surah Ar Rum : 21) 


Mereka adalah sebagai ibu dan pendidik kepada generasi baru yang mana kemudiannya akan menyerahkannya kepada Ummah sebagai Rijal yang soleh ( pendokong-pendokong Islam yang baik ), yang bekerja dan berjihad untuk menegak dan melaksanakan Islam serta mengembalikannya sebagai ad Deen di bumi ini. 


Kedudukan Wanita 


Kedudukan mereka telah diangkat dan diberikan penghormatan yang begitu tinggi serta disamatarafkan dengan lelaki sepertimana diterangkan Allah s.w.t : 


Terjemahannya: 


" Dan sesungguhnya Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. " 

( Surah al Isra’ : 70 ) 


Lelaki dan wanita sama-sama mempunyai hak dan tanggungjawab di dalam melaksanakan Islam, baik di segi ibadah, muamalah, menuntut ilmu dan apa sahaja yang boleh mendatangkan kebaikan kepada Islam. Firman Allah s.w.t :- 


Terjemahannya: 


" Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki maupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan. " 

( Surah an Nahl : 97 ) 


Kaum lelaki mengambil mereka sebagai isteri diberi peringatan ketika akad nikah dijalankan dengan wasiat Rasulullah s.a.w semasa akhir hayat baginda : 


Maksudnya: Kamu mengambil mereka sebagai isteri dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. 


Sebagai ingatan dan pesanan yang mulia bahawa mereka adalah amanah Allah yang perlu dijaga dengan baik, bukan sebagai pekerja atau khadam di dalam rumah. Kerana itu diminta bergaul dengan baik dan menghormati mereka dan dengan sabda Junjungan s.a.w :- 


Maksudnya: Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik di kalangan kamu terhadap isteriku. 


Dilarang menganiayai wanita dengan pesanan : 

yang bermaksud: Sesungguhnya isteri kamu mempunyai tanggungjawab kamu. 


Dengan ikatan yang suci dan barakah ini akan terbentuklah sebuah keluarga muslim, dari keluarga muslim akan lahir pula ummah muslimah dan seterusnya pemerintahan Islam. Atau dalam erti kata yang lain dari usrah yang soleh ini akan lahir generasi baru yang tinggi akhlak, cinta kepada Allah dan RasulNya, kasih kepada ayah ibu, kasih kepada orang-orang yang beriman, cinta kepada kebaikan ummah dan berusaha untuk mengembalikan kekuatan dan kemuliaan Islam, buat memperhambakan diri seluruh hidup kepada allah s.w.t kerana pesarnya peranan yang boleh dimainak oleh mereka dalam pembangunan ummah maka Rasulullah s.a.w pernah bersabda: 


Maksudnya: tiada yang lebih berfaedah bagi seseorang yang beriman selepas bertaqwa kepada Allah, lebih baik dari seorang isteri yang soleh. 


Kerana itu Islam meletakkan kedudukan terhadap wanita, sekiranya ia sebagai ibu maka syurga di bawah kedua tapak kakinya, sekiranya ia masih kecil maka penjaga dan pendidiknya terpelihara daripada api neraka dan sekiranya ia sebagai isteri maka suami akan mendapat kemuliaan dan kebaikan kerana menjaga dan menyintai. 



Pembangunan Ummah 


Manakala pembangunan ummah pula adalah luas dan unik serta menyeluruh dengan menekankan hakikat sebagai pembangunan insan seutuh-utuhnya, yang memungkinkan manusia mencapai kemuncak seindah-indah kejadian. Pembangunan dalam pengertian ini bermaksud usaha-usaha penyusunan semula masyarakat di dalam bidang sosial, politik, ekonomi, hukum akhlak dan sistem nilai lainnya kepada suatu keadaan yang sesuai dengan hakikat dan kemanusiaan. Ringkasnya pembangunan dalam Islam adalah pembangunan berinspirasikan pembangunan empat belas abad yang silam sebagai titik tolak pembangunan seterusnya. Ummah yang pertama inilah yang menjadi sebaik-baik ummah (model), bagi mana-mana masyarakat yang ingin membangun, yang di akui oleh Allah s.w.t sendiri. Firman Nya :- 


Terjemahannya: 


""Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. 

(Surah al Imran : 110) 


Sejarah pembangunan ummah seperti ini penuh dengan pengorbanan dan ranjau sepanjang perjalanan, yang tidak mungkin tercapai kejayaan tanpa iman yang mendalam ( seperti yang pernah dididik di Madrasah Rasulullah s.a.w ) dan jihad yang berterusan. Memerlukan pengembelingan tenaga dan pengorbanan yang besar, yang dicetuskan oleh iman kepada Allah s.w.t dan prinsip-prinsip iman yang lainnya. 


Oleh itu seluruh umat Islam mengikut kemampuan masing-masing baik lelaki maupun wanita sama-sama boleh memberikan sumbangan dan memainkan peranan. Pembangunan generasi al Quran tidak kurang peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh kaum wanita, sejak dari permulaan, ke saat hijrah dan seterusnya kepada pembangunan Madinah al Munawwarah sebagai Daulah Islamiyyah. Dari peranan Sayyiditina Khadijah, Summayyah r.a dan lain-lain di peringkat awal, Asma’ binti Abu Bakar semasa hijrah, Nasibah binti Kaab sesudah tertegaknya negara Islam, hinggalah peranan dan sumbangan Sayyiditina Fatimah dan Sayyiditina Aisyah r.a dan lain-lain sebagai ibu dan pendidik ummah. Semuanya memperlihatkan betapa besarnya sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan ummah generasi al Quran. 


Peranan dan sumbangan seperti itu juga perlu ada di masa ini kerana ‘ Ghurbah al Ula’ ‘ telah berlaku dan kini ‘ Ghurbah At Thaniyyah ‘ telah muncul. Hadis Rasulullah s.a.w :- 


(Maksudnya) " Islam ini bermula di dalam keadaan dagang dan akan kembali kepada dagang, maka bertuah (beruntunglah) orang-orang yang mendukung Islam ketika ia berada di dalam keadaan dagang " 



Sumbangan dan Peranan Ke Arah Pembangunan Semula Ummah Islamiyyah 


Peranan mereka amat besar sekali di dalam hal ini, rosak wanita maka rosaklah generasi akan datang dan seterusnya rosaklah ummah. Oleh itu asas untuk menjaga ummah di masa akan datang ialah dengan memperbaiki keluarga dan asas memperbaiki keluarga (usrah) ialah dengan memperbaiki wanita. Oleh itu wanita perlu tahu peranan suci mereka kerana kesannya amat mendalam dan mampu memperbaiki ummah kiranya diarahkan ke sana. Bagaimanapun wanita tidak dibebankan kecuali sekadar sesuai dengan kemampuan mereka, sebab itu mengangkat senjata tidak wajib kepada wanita seperti lelaki, kecuali jika mereka ingin berbuat demikian. Mereka diberi kerja sepadan dengan mereka seperti mengubati perajurit yang luka dan menyediakan makanan, kecuali jika negara diserang musuh, ketika itu menjadi fardhu ‘ain terhadap kaum lelaki dan wanita. 



Peranan dan Sumbangan 


Pertama : Peranan Sebagai Isteri 


Perkahwinan adalah merupakan sebuah institusi untuk mendirikan keluarga dan keluarga pula adalah sebuah unit sosial yang diberi kepentingan yang cukup besar dalam masyarakat. Orang yang diberi keistimewaan untuk melaksanakan tanggungjawab ini ialah wanita yang merupakan isteri yang telah dibebankan dengan amanah yang cukup besar iaitu supaya patuh dan taat kepada suami, yang dianggap perkara yang boleh membawa ke syurga dan neraka. Kebahagiaan sesebuah keluarga pula akan membawa kebahagiaan kepada masyarakat atau ummah itu sendiri. Keluarga yang mana di hari pertama lagi diikat dan diasaskan atas asas iman dan taqwa, akan bersinar rumahtangga ini dengan ruh Ar Rabbaniyyah semerbak harum. Dari kerajaan yang kecil ini akan lahir Rijal yang bangun untuk mempertahankan ummah. Dari kasih sayang suami isteri yang bahagia dan tolong menolong ini membentuk anak-anak bakal rijal ummah membesar dengan penuh keberkatan dari Allah s.w.t dan terhindar dari gangguan syaitan, baik akhlak , murni jiwa dan mendatangkan kedamaian kepada ayah dan ibu, walaupun mereka dipanggil pulang semasa anak masih lagi kecil, itulah kata Rasulullah s.a.w : 


(Maksudnya) " Dunia itu adalah barang perhiasan/bahan kesedapan dan sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita yang soleh " 

(HR Muslim) 


Isteri yang soleh adalah cahaya yang menyinari hidup berumahtangga dan kecantikannya. Dalam rangka membangunkan ummah, isteri dituntut supaya setia dan taat kepada suami agar tercapai kedamaian dan kasih sayang dan tidak berlaku perceraian, semuanya adalah dalam rangka taat dan patuh kepada Allah s.w.t disamping membantu ketahanan ummah. Untuk memperlihatkan betapa bahagianya suami yang mendapat isteri yang soleh Mahmud Muhammad al Jauhari dan Muhammad Abdul Hakim telah menggambarkan ‘ Kiranya dunia dan isi kandungannya diletakkan di sebelah dan wanita yang soleh berdiri di sebelah yang lain untuk dibuat pilihan, nescaya semua lelaki memilih wanita ini kerana ditangannya kunci kebahagiaan dan khazanah hidup. Wanita dseperti ini sudah pernah lahir pada generasi awal yang dididik di Madrasah Rasuslullah s.a.w seperti Ummi Salamah, Fatimah Az Zahra, Ummi Sulaim r.a dan lain-lain. Wanita seperti ini juga akan lahir pada mana-mana generasi yang ingin mengembalikan Islam sebagai ad Deen di dalam membangunkan semula ummah Islamiyyah. Bahagia suami isteri, bahagia rumahtangga seterusnya membawa kebahagiaan kepada Ummah. ‘ Demikian besarnya sumbangan dan peranan wanita. 


Kedua : Peranan Sebagai Ibu 


Dari ibu yang soleh akan lahirlah anak-anak bakal generasi akan datang dan ditangan mereka diserahkan amanah Allah s.w.t untuk mendidik anak-anak supaya mengenali tanggungjawab terhadap deen Islam, terhadap ayah ibu dan pembangunan ummah Islamiyyah di masa akan datang dan ibu bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t di hari perhitungan nanti. Oleh itu berkewajipan di atas mereka memberi penuh pengorbanan dan penjagaan supaya anak-anak membesar, mengenali Islam dan menyintai Allah s.w.t dan Rasul Nya s.a.w, kasih kepada ayah ibu, cinta kepada orang-orang mukmin, cinta kepada kebaikan dan Ummah Muslimah, yang mana nantinya lahir satu generasi yang kuat dengan iman dan akhlak serta kuat cita-cita bagi mengembalikan kekuatan dan kemuliaan Islam. Kegagalan mereka menjalankan tugas ini akan menyebabkan mereka akan menanggung risiko yang besar dihadapan Allah s.w.t dan sesalan yang tidak bererti lagi. 


Sehubungan dengan ini Imam Ghazali r.a pernah berkata kira-kira bermaksud : " Anak-anak itu adalah amanah Allah di sisi ibubapanya, hatinya suci bersih, bersih dari sebarang lukisan dan ukiran, menerima apa sahaja yuang dicorakkan, condong dan tertarik terhadap apa yang ditarik kepadanya. Jika didedahkan dengan kebaikan dan diajarkannya, maka ia membesar di atas keadaan itu, berbahagialah hidupnya di dunia dan di akhirat dan berkongsilah pahala kebaikan ayah ibu, dan setiap pendidik yang mendidiknya. Kiranya didedahkan kepada perkara-perkara yang jahat (keburukan), ke arah kebinatangan, maka binasa dan musnahlah anak itu dan dosanya di atas tanggungan pendidik dan penjaganya. " 



Kerana itu maka ibu yang beriman amat mengambil berat tentang amanah ini dan akhirnya menyerahkan anak yang dididik dengan iman dan penuh kasih sayang itu kepada ummah sebagai Rijal yang soleh, bangun berjihad mempertahankan dan menegakkan Ummah Islamiyyah di bumi Allah ini. Allah mengasihi mereka kerana itu jasa mereka yang besar tidak pernah dilupakan , Rasulullah s.a.w pernah bersabda : 


(maksud) " Syurga itu terletak di bawah tapak kaki ibu " 


Anak-anak diberi ingatan supaya mengenang budi mereka dan mereka tidak dikira sebagai seorang mukmin yang baik biar setinggi mana abidnya semasa hayat ini sekiranya mereka tidak berbakti kepada ibu dan terhalang dari menerima nekmat Allah s.w.t. 


Oleh sebab besarnya pengorbanan mereka didalam mendidik anak untuk membangunkan ummah di masa akan datang, maka mereka disampaikan khabar gembira oleh Rasulullah s.a.w, lebih-lebih lagi jika yang dididik itu perempuan bakal ibu di masa akan datang. Anas r.a pernah berkata Rasulullah s.a.w bersabda : 

Wanita adalah ibu dan guru pertama generasi akan datang, baik didikan maka baiklah generasi Islam dan kerana itulah mereka dianggap sebagai Asatizah Al Alam. Tangan kanan yang menghayun buaian, tangan kiri dapat menggegarkan alam ini. Imam As Syahid Hasan al Banna r.a pernah mengatakan : 


Kerana besarnya peranan ibu (kaum wanita) di dalam mendidik pendukung dan penegak ummah. Sebagai contoh ibu yang baik yang sudah terkenal di kalangan umat Islam ialah seorang sahabi yang bernama Tamadir binti Amru, pemuisi wanita yang jelita, yang telah menghabiskan sebahagian hidupnya sebelum memeluk Islam dengan meraung, meratap dan menangis kerana kematian saudaranya Muawiyyah dan Sakhar. Ia mengarang banyak syair sedih. Rasulullah s.a.w gemar akan puisinya. Tatkala tercetusnya peperangan al Qadisiyyah, Tamadir r.a telah memberi perangsang kepada anak-anaknya supaya turut sama tentera Islam, ketika mengucapkan selamat jalan kepada mereka beliau mengingatkan mereka tentang nekmat akhirat, ini melahirkan semangat baru kepada anak-anaknya, akhirnya keempat-empat anaknya gugur syahid. Beliau mengucap syukur kepada Allah s.w.t kerana kurniaan Allah terhadap anaknya. Ini sebagai salah satu dari contoh-contoh yang dimainkan oleh wanita di dalam sejarah membangun dan mempertahankan ummah. 


Ketiga : Peranan Di Dalam Jihad 


Jihad tidaklah sahaja difahami dengan mengangkat senjata di medan peperangan menentang musuh. Sebenarnya jihad ini mengandungi berbagai-bagai bidang. Berjihad menguruskan rumahtangga dan mendidik anak-anak sebagai Rijal Al Ummah di masa akan datang ( di saat perlu dapat memberi pertolongan di medan jihad mengangkat senjata ), berjihad mencari ilmu pengetahuan dan berjihad untuk beramal. Sesudah itu wanita berjihad pula untuk mengajak wanita lain di sekelilingnya untuk beriman dengan Allah dan hari kiamat, berpegang kuat dengan Islam , berbuat makruf dan mencegah mungkar, memahamkan golongannya dengan deennya, fardhu, hak-hak wanita, asas-asas keadilan dan kemerdekaan, kebebasan siasah di dalam Islam’ memberi kesedaran Islam semula dan lain-lain. Memperlihatkan contoh yang baik sebagai Mukminah Solehah di dalam menunaikan amanah Allah s.w.t bagi membangun dan mempertahankan ummah. 


Peranan ini sebenarnya telah pernah ditunjukkan oleh wanita-wanita utama sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w baik di bidang ilmu pengetahuan seperti Sayyiditina Aisyah r.a , seorang cendikiawan, alim tentang al Quran dan Sunnah, meriwayatkan hadith lebih daripada seribu, malah suku bahagian undang-undang syarak diriwayatkan oleh beliau, pernah Rasulullah s.a.w mengatakan kira-kira bermaksud : " Ambillah separuh dari Deen kamu dari anak yang masih merah ini ( Sayyiditina Aisyah r.a. ). " 


Di medan jihad pula kita melihat Nasibah binti Kaab r.a adalah wanita Ansar yang telah berbaiah dengan Rasulullah s.a.w bersama golongan lelaki di dalam Perjanjian Aqabah Kedua, merawat mereka yang cedera dan memberi minum kepada mereka yang dahaga di medan Uhud, malah beliau mengangkat senjata mempertahankan Rasulullah s.a.w dan beliau juga luka parah. Di medan perang lain, beliau telah mendapat sepuluh luka-luka dan telah kehilangan sebelah tangannya untuk bangun menegakkan ummah pertama. 


Banyak lagi yang tetap disebut dan menjadi sebagai model pembangunan ummah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. 


Peranan seperti mereka ini akan tetap ujud berkekalan sehingga hari kiamat bagi mana-mana generasi yang ingin membangunkan semula Ummah Islamiyyah dan melalui proses yang sama sepertimana yang telah dilalui oleh generasi awal yang ditarbiyyah di Madrasah Rasulullah s.a.w, Rabbaniyatul Ghayah Wal Wijhah Wa Rabbaniyatul Manhaj. 


Kesimpulan 


Pada keseluruhannya dapatlah disimpulkan bahawa peranan kaum wanita di dalam pembangunan ummah dapat ditentukan melalui pembangunan diri wanita itu sendiri. Seterusnya usaha dan sumbangan untuk membangunkan ummah. Pembentukan diri itu adalah pembentukan Iman itu sendiri. Pembentukan diri yang sempurna maka akan diikuti dengan pembangunan ummah yang berjaya. Tanpa Iman tugas besar ini tidak akan mampu dipikul kerana jalan yang akan dilalui tidak pernah dihampar dengan permaidani indah, malah penuh duri dan ranjau di sepanjang perjalanan. 



Rujukan: 

Al Quran al Karim 

Hadis Rasulullah s.a.w 

Min Mahasinil Islam, Ahmad Izzuddin al Biyanuni 

Al Islam Ruh Al Madaniyyah, As Syeikh Mustafa Al Ghilayaini 

Min Huna Na’lam, Muhammad Ghazali 

Ma’lim Fit Tariq, Syed Qutb 

Buku Muktamar Sanawi (Abim) Kesembilan, 1980 

Usul Da’wah, Dr Abdul Karim Zaidan 

Muslimah Dalam Pembentukan Ummah, Mustafa Ramadhan 

Al Akhawat Al Muslimat Wa Bina’ Al Usrah Al Quraniyyah, Mahmud Muhammad Al Jauhari dan Muhammad Abdul Halim Khayal

No comments: